Kiriman saya kali ini melihat perhubungan bolasepak dan keselamatan dari sudut kebajikan pekerja dalam konteks bolasepak pemain.
Dalam bolasepak, kesebelasan pemain utama (termasuk juga pemain simpanan) merupakan aset pasukan. Jadi apabila berlaku kecederaan kepada mana-mana pemain yang menjadi ayam tambatan pasukan, maka pasukan akan mempergunakan seluruh usaha dan sumber kewangan untuk memulihkan pemain tersebut supaya cepat sembuh dari kecederaan dan turun bermain untuk membantu pasukan meraih kemenangan dalam perlawan seterusnya.
Sebaliknya, kebanyakan organisasi gagal melihat pekerjanya sebagai aset utama organisasi mereka. Pekerja merupakan "alat utama" sesuatu organisasi tak kira apa bentuk aktiviti perniagaannya. Alat utama atau "primary tool" merupakan istilah yang saya pinjam dari sifu saya dalam bidang ergonomiks iaitu Dr. Jalaludin Dahalan.
Sebagai alat utama organisasi, kaum pekerja juga terdedah dengan fenomena "wear & tear" atau pakai dan rosak seperti alat organisasi kedua iaitu mesin, kenderaan, komputer dan sebagainya. Kalau alat kedua memerlukan program pengekakalan (maintenance) maka pekerja sebagai perkakas utama juga memerlukan program pengekalan kesihatan dan keselamatan pekerjaan, supaya tahap kesihatan dan keselamatan mereka di tempat kerja berada dalam tahap optimum untuk meningkatkan produktiviti organisasi. Ini penting untuk membolehkan organisasi tersebut terus kekal bersaing dan bertahan dalam persaingan zaman globalisasi ini.
Walaupun kesihatan dan keselamatan bukanlah hanya syarat untuk mengoptimumkan keupayaan pekerja, malah tahap ilmu dan kompeten dalam bidang yang dicebur juga penting, namun kesihatan dan keselamatan merupakan aset yang dimiliki oleh setiap pekerja - inilah sahaja harta yang ada pada semua pekerja - kalau harta ini tidak dijaga dengan baik, maka nilai pekerja akan hilang. Apalah gunanya kepakaran dalam apa-apa bidang apabila tahap kesihatan tidak mengizinkan pekerja menyumbangkan kepakaran tersebut, apalah gunanya kepakaran yang ada, jika sebahagian dari anggota badan tidak dapat berfungsi - ada telinga tapi pekak akibatv terdedah dengan kebisingan di tempat kerja, ada jari tapi kudung akibat dipotong mesin di tempat kerja kerana mengabaikan aspek keselamatan pekerjaan.
Memang benarlah ungkapan yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO- World Health organisation) bahawa : "KESIHATAN itu bukanlah segala-galanya, namun SEGALA-GALANYA tidak bermakna tanpa KESIHATAN".
Blogged with Flock