Thursday, October 11, 2007
SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI
Sempena kedatangan Syawal 1428 Hijrah, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat menyambut hari raya eidul fitri kepada seluruh kaum muslimin-muslimat. Semuga madrasah Ramadhan Al-Mubarak berjaya mentarbiyah kita terutamanya dalam mengawal hawa nafsu. Mudah-mudahan kemeriahan hari raya ini tidak melalaikan kita terhadap aspek keselamatan dan kesihatan. Keselamatan di jalanraya hendaklah diberi perhatian sepenuhnya, pandulah dengan cermat dan hati-hati. Ketika berkunjung ke rumah rakan taulan, kawalkan nafsu makan demi menjaga kesihatan kerana hari raya ini banyak jamuan yang mengandungi kolesterol dan gula percuma, ianya tidak baik untuk kesihatan jika tidak diambil secara terkawal. Pada rakan-rakan di bandaraya Kuching, jemputlah datang ke rumah di 403 Jalan Pisang Barat, Kuching pada hari raya pertama dan kedua.
Sunday, October 07, 2007
KEMALANGAN LAGI
Dalam perjalanan ke tempat kerja beberapa hari yang lalu, saya melihat sebuah kereta berada di dalam longkang tepi di jalan. Kemalangan ini mungkin berlaku awal pagi atau lewat malam.
Saya masih meyakini bahawa, selain daripada kecuaian pemandu , dua punca penting yang boleh mengakibat kemalangan jalanraya ialah mabuk kerana alkohol dan juga keadaan mengantuk.
Keadaan mengantuk ini sering berlaku di kalangan pekerja shif. Pekerja shif di kilang-kilang yang beroperasi 24/7 (24 jam, 7 hari berturut-turut) banyak mengalami apa yang dinamakan HUTANG TIDUR (Sleep Debt).
Ada tempat kerja yang secara diam memaksa pekerja mereka membuat kerja lebih masa (over-time) sebaik sahaja pekerja berkenaan habis bekerja shif malam. Pekerja tersebut yang sepatutnya berehat untuk pulih daripada hutang tidur, terpaksa meneruskan kerja atas arahan majikan yang mahu mereka melakukan kerja lebihan masa. Majikan menggunakan istilah "overtime" dengan meletakkan nama pekerja ini dalam jadual kerja di mana pekerja ini tidak mempunyai pilihan.
Saya pernah menemui seorang pekerja yang bekerja 2 minggu berterusan. Pekerja ini datang dalam keadaan yang tidak bermaya dan mengalami keletihan(fatigue) yang amat sangat. Sebagai seorang doktor kesihatan pekerjaan saya memberi nasihat dan menerangkan akibat daripada amalan kerja berterusan kepada pekerja tersebut. Saya terkejut, apabila beliau memberitahu saya yang dia tiada pilihan lain. Beliau meminta cuti sakit, saya rasa itulah alternatif terbaik untuknya. Inilah yang saya namakan hamba abdi moden era perindustrian.
Saturday, October 06, 2007
KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA
Hari Khamis yang lepas (4 Oktober, 2007) saya menerima seorang pesakit iaitu pekerja dari sebuah kilang pengeluaran. Pekerja ini terlibat dalam satu kemalangan industri. Tangan kirinya terperangkap dalam sebuah mesin yang digunakan dalam proses pengeluaran produk. Menurut pekerja tersebut, kemalangan ini berlaku kerana mesin tersebut tiba-tiba rosak lalu memerangkap tangannya. Tangannya terperangkap dalam mesin selama setengah jam.
Nasib pekerja tersebut agak baik. Tangannya cuma mengalami kecederaan "soft tissue" termasuk kecederaan saraf yang tidak parah. Tangannya masih dapat berfungsi tetapi mengalami rasa kebas. Kekuatan tangan masih baik. Aliran darahnya masih baik. Kecederaan ini adalah akibat kompressi tangannya yang agak lama. Saya telah mengeluarkan cuti sakit selama 7 hari kepada pekerja ini.
Walaupun unsur "Unsafe Condition" agak jelas dalam penceritaan kes ini, namun penyiasatan kemalangan (Accident Investigation) perlu dibuat untuk mencari fakta sebenar. Kes ini juga perlu dilapor kepada JKKP oleh pihak kilang mengikut peruntukan Peraturan NADOOPOD.
Monday, October 01, 2007
SELAMAT KAH RUMAH ANDA?
Baru-baru ini rumah rakan sekerja saya telah diceroboh masuk oleh 4 orang penyamun pencemar Ramadhan (kerana mereka membuat kerja durjana dalam bulan Ramadhan). Rakan saya baru balik bekerja sekitar jam 12: 30 tengah malam. Beliau masuk beradu (tidur) sekitar jam 1 pagi setelah mempastikan semua pintu rumah dikunci. Tiba-tiba sekitar jam 3 pagi dia terjaga dari tidur setelah 4 penyamun ini menceroboh masuk kamar tidurnya dengan memecah pintu. Penyamun-penyamun ini bersenjatakan parang dan pisau dan mengarah rakan saya dan isteri serta anak sulongnya supaya diam, setelah isteri dan anaknya menjerit kerana terkejut dengan pencerobohan biadap tersebut. Tangan rakan saya telah diikat dengan wayar manakala tangan isterinya diikat dengan kain. Kesemua barang kemas, 2 laptop dan barang-barang berharga termasuk tali pinggang dan kasut rakan saya disamun. Sebelum penyamun-penyamun durjana itu melesapkan diri, seorang dari mereka mengawal rakan saya sekeluarga di kamar tidur tersebut manakala 3 penyamun lagi meratah semua makanan persediaan untuk sahur puasa Ramadhan.
Menurut rakan saya, sebiji nasi pun tidak tertinggal di dapur apabila beliau membuat pemeriksaan, setelah beliau dapat membuka ikatan di tangannya selepas 4 penyamun melesapkan diri. Nasib baik rakan saya sekeluarga tidak mengalami kecederaan parah. Dan nasib baik penyamun-penyamun ini tidak menculik anak sulongnya yang berusia 5 tahun itu.
Saya empati mendengar cerita malang rakan sekerja saya ini kerana 3 tahun lepas rumah saya juga kena ceroboh pada ketika saya dan keluarga tiada di rumah.
Dari cerita ini, saya ingin mengajukan pertanyaan : Adakah rumah anda selamat dari pencerobohan pencuri atau penyamun?
Adakah anda telah melaksanakan langkah pengawalan hazad pencerobohan ini secara "ALARP - As low as Reasonably Practiable".
Dari pengalaman sendiri dan rakan saya, kedua-dua kami tidak memasang pagar besi (Grill) di pintu dapur rumah. Dari situlah penyamun-penyamun ini menceroboh masuk dengan memecah atau membuka paksa pintu tersebut.
Inilah langkah pengawalan ALARP yang dapat dilakukan tetapi kerana tidak membuat penilaian risiko, maka langkah pengawalan ini terlepas pandang.
Keesokan harinya, sekitar jam 5 pagi rumah seorang Menteri Muda beberapa kilometer dari rumah rakan saya, pula diceroboh penyamun.
Rumah anda bagaimana, adakah ianya selamat?
Nampak gaya kita tidak boleh bergantung kepada pemantauan (surveillance) pihak polis semata-mata, kita juga perlu proaktif membuat 'HIRAC - Hazard Identification, Risk Assessment and Control" terhadap hazad pencerobohan pencuri/penyamun ini. HIRAC ini sudah pasti berada dalam "Quadrant II" dalam Matriks segi empat "First Things First" ciptaan Stephen R. Covey.
Subscribe to:
Posts (Atom)